Burma, Catatan Perjalanan
No Comments Burma; Negara Seribu Pagoda
Alhamdulillah, kami sudah selamat kembali ke tanahair tercinta. Syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan aku menghirup udara Malaysia dan berhimpun dengan keluarga tersayang. Alhamdulillah juga kerana anak-anak selamat kembali dari Terengganu dan kelihatan sihat dan gembira. Hari ini aku tidak berapa sihat sedikit, perkara biasa kualami setiap kali pulang dari musafir. Mungkin kerana perubahan cuaca yang mendadak, mungkin juga kerana udara dan persekitaran Burma yang agak kotor dan berdebu.
Kembara singkatku ke bumi Yangon banyak membuka mataku tentang hidup. Masa seolah-olah diputar kembali ke zaman kecilku. Burma sesungguhnya masih mundur dan daif, tetapi dari satu sudut sangat ramah, ikhlas memberi dan pasrah menerima. Stupa emas berkilauan disela-sela rumah-rumah yang daif dan usang, berserakan di atas tanah luas yang kuning, gersang dan berdebu – ironi; itulah pemandangan pertama yang disajikan kepada kami sewaktu pesawat hampir mendarat di bumi seribu pagoda itu. Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon yang baru dan moden kelihatan janggal kerana dipenuhi oleh lelaki-lelaki berkain pelikat dan berselipar, sementara kaum wanitanya pula berkain batik seperti ibu-ibu kita dirumah. Burma walaupun daif dan berpopulasi tertinggi, tetapi sebuah negara yang aman dan mempunyai kadar jenayah terendah. Tidak hairan kalau dompet bisa disisipkan disisi pinggang dan dicelah kain – kalau di tempat lain sudah pasti menjadi intipan pencopet-pencopet jalanan.
Usai urusan immigrasi dan kastam, kami disambut oleh seorang lelaki berkulit sawo matang dan bermata sepet – lebih seperti melayu sebenarnya; membawa sepanduk tertera nama kami dan rumah tumpangan tempat kami menginap. Beliau membawa kami, dan sepasang warga Canada ke van buruknya yang terletak di luar bangunan lapangan terbang. Van itu sangat usang, dengan pendingin yang tidak berfungsi, tetapi sebaik sahaja ia mula bergerak, bau citrus yang kuat dari penyegar udara menyengat ronggaku. Perjalanan ke kota Yangon yang sepatutnya tidak lebih 45 minit mengambil masa kira-kira satu jam lebih disebabkan kesesakan hujung minggu, dan van usang itu tersengguk-sengguk di jalan yang tidak rata dan berdebu. Ia kelihatan aneh, si pemandu itu – mengemudi van usang disebelah kanan, tetapi jalannya terletak di sebelah bertentangan. Agar sukar kelihatannya terutama ketika membelok di simpang, tapi dia seperti sudah terbiasakan. Udara panas dan bau diesel yang meruam dari enjin-enjin yang menderam dijalanan menyapa wajahku; hangat dan memualkan. Pastinya penyegar citrus itu akhirnya penyelamat kami.
Kami melalui Tasik Inya, tasik terbesar di kota Yangon, dan waktu senjanya dipenuhi oleh pasangan muda-mudi yang sedang asyik bercinta. Tanpa segan silu mereka mempamerkan keintiman dan kemesraan. Van usang terus meluncur laju membelah kota dan sewaktu melintasi Shewdagon Pagoda yang terkenal itu, malam sudah pun melabuhkan tirainya. Kota Yangon yang kelam, bergermelapan disimbahi cahaya emas berkilau Pagoda Shewdagon. Suatu pemandangan yang menakjubkan. Van akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah tumpangan terletak di hujung kota; sederhana sahaja rupanya, sesuai kemampuan kami. Kami menyongsong ke kamar yang disediakan, mandi dan menukar sedikit mata wang Kyats untuk membeli air dan roti. Makan malam pertama kami di Yangon cuma sebungkus nasi lemak yang dibawa bekal dari Kuala Lumpur. Sesudah makan kami berjalan-jalan sekitar rumah tumpangan, yang terletak kebetulan berhampiran dengan masjid. Alhamdulillah makan halal tidak akan menjadi masalah bagi kami, kerana sekitar tempat kami menginap dipenuhi dengan penjaja-penjaja muslim dan gerai-gerai menjual makanan halal. Cuma sama ada terlalu oleh tekak atau tidak sahaja (kebersihan sangat diragukan). Malam di Yangon biasa-biasa sahaja, penghuni kota hanya menghabiskan masa menikmati makanan di meja dan kerusi kecil milik penjaja-penjaja yang memenuhi pinggir jalan. Capati, murtabak, cakoi dan mee goreng adalah antara menunya. Ketika jam menghampiri sepuluh malam suasana sudah semakin sunyi, seperti kota yang telah ditinggalkan. Tanpa lampu jalan, lorong-lor0ng semakin kelam dan gelap, dan penjaja-penjaja sudah bersurai. Kami pun mengorak langkah kembali ke rumah tumpangan, dan selebih malam dihabiskan beristirehat di kamar sebelum memulakan kembara kami keesokkan harinya.
<Bersambung…>
